Followers

14 May 2011

Contest Selamat Hari Guru, Cikgu!

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum, salam sejahtera semua! Moga semuanya sihat dan ceria selalu!

Sempena sambutan Hari Guru tahun ni, saya tertarik akan contest yang dianjurkan oleh Cikgu Imanshah, seorang cikgu @ warden di STAR, Ipoh,  Di bawah ini terpampang gambar Cikgu Imanshah, pemilik blog HOK SENGOTI (Apa dia Hok Sengoti tu, Cikgu?). KLIK pada gambar untuk melawat blog Hok Sengoti.
Tarikh tamat pertandingan: 14 Mei, Jam 12.00 malam
Cikgu Imanshah, 
saya tiada idea muluk-muluk pun untuk memenangi pertandingan ini. Saya sekadar mahu berkongsi kisah, baru-baru ini saya kehilangan seorang guru yang sangat saya sayangi dan kagumi, perginya ke destinasi yang abadi, tiada kembali. Allahyarhamah Cikgu Zaiton Mohamad namanya, guru Sains saya ketika Tingkatan 3. 

Perkara yang paling mengingatkan saya kepada allahyarhamah ialah kesungguhan beliau ketika menjalankan eksperimen di lab. Allahyarhamah akan bersungguh-sungguh memastikan setiap anak muridnya merasai pengalaman ketika bereksperimen. Katanya, eksperimen mesti buat betul-betul! Perkara yang paling saya tak boleh lupakan adalah ketika berlaku kemalangan di dalam lab, kelalang berisi petroleum yang kami panaskan dengan penunu bunsen meletup tiba-tiba! Mujurlah saya yang duduk berdekatan petroleum itu tidak terkena serpihan kaca. Allahyarhamah sangat bimbang akan keselamatan kami, namun pada masa yang sama beliau mengingatkan kami bahawa kami bertuah sebenarnya merasai pengalaman yang tidak dihadapi oleh orang lain. Kemalangan itu mengingatkan kami bahawa malang tidak berbau, hadirnya bila-bila masa tanpa diduga.

Hari lahir allahyarhamah tanggal pada 16 Mei (tak ingat tahun bila), sama dengan tarikh Hari Guru. Setiap tahun, allahyarhamah akan memotong kek sempena kelahirannya di sekolah ketika sambutan Hari Guru. Meriah dan indahnya kenangan itu! Dan tahun ini pastinya warga sekolah yang telah saya tinggalkan akan berasa kehilangan, tiada lagi kek hari lahir ketika sambutan hari guru!

Atas semangat dan dorongan allahyarhamah juga, saya dan teman-teman sekelas ramai yang mendapat A dalam PMR. Usaha beliau tak putus-putus, doanya sentiasa buat kami. Katanya "Kalau awak dapat A, itu bukan untuk saya. Tapi untuk diri awak sendiri!." Saya tanamkan azam untuk menjadi guru yang berdedikasi seperti beliau. Wanita bertudung labuh yang sangat cantik dan komited, beliaulah idola saya dalam bidang perguruan.

Cikgu Imanshah,
saya ini orangnya bukanlah pandai berpuisi. Namun bait-bait yang terungkap dari hati ini benar-benar saya maksudkan. Bahasanya tak tinggi, pasti teramat mudah untuk Cikgu Imanshah fahami.

WANITA SEORANG MURABBI
(Belasungkawa Allahyarhamah Zaiton Mohamad, 28 April 2011)

Wanita berkerudung litup
Riaknya lembut mirip angin berpuput
Seiras wajah gadis dari Kota China
Matanya redup bercahaya
Sinaran nur menyiram wajahnya

Wanita itu seorang Murabbi
Bertubuh genit berkudrat tinggi
Menebar ilmu alam dan bumi
Meneroka semangat anak pertiwi
Menyelongkar ciptaan Rabbul Izzati

Wanita itu seorang Muallim
Tak lelah membangkit nusa
Agar segera faham, apakah itu manusia
Apakah itu cakerawala
Apakah itu alam semesta

Wanita itu seorang Da’i
Menyemat nasihat tak kenal penat
Bait katanya jadi azimat
Saat ini masihku ingat
“Bukan kejar A, tapi kejar amanat!”

Hampir sedekad telah berlalu
Terasa baru semalam aku di situ
Bersama teman mengutip ilmu
Namun kini
Wanita itu pergi menghadap Ilahi
Menitipkan anak-anak buat suami

Perginya wanita itu
Bak sebutir bintang yang hilang
Tiada lagi menghiasi
Persada langit duniawi

Kami reda
Pergimu bersama amalmu
Kulli nafsin zaiqatil maut
Damai abadi di sana tempatmu 

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Zaiton Mohamad

Untuk Cikgu Imanshah dan semua guru di seluruh Malaysia, ini untuk kamu:
Orang bilang, guru bagaikan dian. Membakar dirinya sendiri demi menerangi sekeliling... 
Namun bagiku, dirimu lebih besar ertinya. Kau mirip bebunga,  kau sebarkan ilmu bagai halus benih debunga, debunga dibawa angin yang membunga di tempat lain, sebaran ilmumu ibarat debunga, tidak berhenti selama masa masih berdetik...

SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

1 comment:

Blog User said...

Sayu baca kisah ni. Semoga beliau ditempatkan antara golongan yang terhebat.

Guru memang seorang yang mulia :')

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...