Followers

Showing posts with label seputar kehidupan. Show all posts
Showing posts with label seputar kehidupan. Show all posts

01 August 2012

Semester 5

4 komen
Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua!

Bagi yang akan menduduki peperiksaan akhir hari ini, saya doakan kalian dimudahkan menjawab soalan ya.

Untuk saya, ada 1 kertas lagi yang perlu diduduki untuk peperiksaan akhir. Menghadami buku Estetika Dramatik & Spektakuler Teater bagi saya lebih mudah berbanding buku Semantik dan Teromba. Mungkin terbayang muka comel Pak Mana Sikana yang menulis buku ni, lalu hati mudah nak menelaah, hehe (Pak Mana memang comel pun).

Bagi semester ini, cuma 3 kertas yang perlu saya duduki memandangkan 3 subjek lain yang sama ambil, penilaiannya 100% berdasarkan tugasan. Walaupun agak lapang dan rileks menjawab peperiksaan kali ini, saya lebih berdebar untuk menghadapi peperiksaan semester hadapan. Mungkin lebih mencabar berbanding semester ini.

Untuk tahun 2012 ini, perancangan perlu saya buat dengan lebih rapi.

Sekadar Coretan Kasar
Jan - Februari 
Memanfaatkan sebaiknya cuti semester dengan ilmu suri rumah tangga :) (Itu pun kalau jadi balik)
Februari - Jun
Memanfaatkan sepenuhnya Semester 6 sebagai persediaan bagi menghadapi praktikum.
Jun - Oktober
Menjalani praktikum. Oh, sure this will be hard time for me! Praktikum mungkin tidak sesukar membawa nama universiti.
Julai
My engagement day. Eh, bukan! Bukan hari saya, hari orang lain lah, hehehe. Semoga sahabat saya dikurniakan ketetapan hati.
Ogos
Ok, sure Ogos memang Aidilfitri, tapi semoga Ogos kali ini membawa lebih sinaran buat saya dan semua. Amiin Ya Rabbal Alamiin... (saya memang misteri)

dan saya juga berazam untuk menjaga kesihatan dengan lebih baik! :) 

Semester 5 ini juga pelbagai perkara telah saya lalui, daripada yang sangat membahagiakan hinggalah saat yang sangat menyedihkan. Betullah hidup mengajar kita pelbagai perkara. Dalam menghadapi beberapa siri peristiwa, saya akui ada beberapa silap yang telah saya lakukan. Banyak yang telah saya timbang-timbang dan fikirkan... Akhirnya setiap kali berfikir, jawapan yang saya temui ialah, that was for good. Alhamdulillah, saya telah temui hikmahnya. Saya perlu korbankan sesuatu untuk sesuatu yang lebih baik.

Saya juga memohon maaf kepada sesiapa yang mungkin pernah saya kasari, tanpa sengaja - tidak pernah ada yang sengaja. Sebagai mana saya mengharapkan maaf anda, telah saya maafi sesiapa sahaja dengan lapang dada, menyungguh melunaskan maaf agar tiada yang runsing sampai tak tidur malam, hehehe. Janganlah sampai masalah membelenggu jiwa ya. Bertenang dan jangan gopoh. Semoga Allah tunjuk jalan selamat.

Selamat Hari Lahir juga buat yang tersayang dalam hidup saya.

Lia (0301)
Selamat Hari Lahir sayang. Saya doakan awak selalu tersenyum, macam senyum yg selalu awak hadiahkan buat kami. Manis dan menyenangkan. Berbahagialah selalu, tak mau sedih-sedih ya :)

Hudha (0601)
Sampai hati awak tak cam suara kita dalam telefon! Heee apa pun selamat menjalani semester terakhir pemgajianmu. Doakan awak berjaya menempuh hidup sebaiknya. Cuti sem ni saya nak jumpa awak. Rindu sangat-sangattt!

Adik Hadi (0601)
Untuk adik, dah 19 tahun dah sekarang. Banyak dah benda yg dipelajari selama ni kan. Adik pernah berjaya, pernah juga gagal. Belajarlah dari setiap kejayaan dan kegagalan ya. Kakak selalu sayang adiknya yg seorang ni, sampai akhirat cintaku! Kumpul ilmu banyak-banyak utk jadi suami soleh, ok?

Hmm, ok lah, nak sambung menelaah ni. Doakan saya dapat jawab yang terbaik untuk kertas terakhir ya. Saya rindu semua orang! Jaga diri, lebiu sangat-sangat!

Nur Gadisku,
Janganlah cintamu berlebihan,
Jangan pula marahmu merosakkan.

Terima kasih untuk nota ini. Akanku ingat selalu. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali!

p/s: Semalam saya ada buat kek batik untuk Cik Faezah, dikirim melalui Polynia. Tapi dengar kata Cik Faezah dah balik Sabah. Alamak, kalau gitu, lain masa ya Cik Faezah! :)

01 January 2012

Diet.

0 komen
Ketika di rumah nenek.
Mak Usu hidangkan makanan, roti bersama daging cincang ala-ala inti kebab. Rasa dia, fuh! mengancam...

Saya : Mak Usu tahu tak? Hari ni kita dah makan nasi dua kali, makan roti dua keping. Fuh.... Karbohidrat tuuuu. Ni pun rasa macam nak tambah lagi. Macamana ni? Ada cara nak diet tak?
Mak usu : Lain kali, kalau nak tanya pasal diet, pastikan mulut tak penuh makanan!
Saya : Gulp! (Aku yg salah tanya soalan ke, waktu yg tak sesuai?)

Tapi betullah, saya perlu bertindak bijak, sekarang!

** Hati gua gundah, tapi gua mau senyum. Please, senyum kat gua beb :)))

25 December 2011

Limau yang memalukan

2 komen
Bentar tadi. Nenek saudara datang ke rumah.

"Nora, nenek nak minta limau nipis."

"Oh, kejap ye nek! Kita ambilkan!"

Konfiden je aku, ambil plastik di dapur, dan terus petik limau di pokok depan rumah tu. Bersungguh-sungguh.
Nenek datang dekat.
"Nak, tu limau kasturi. Bukan limau nipis"
"Ooooh erk? Heheheheee (malunya weiii!). Oh kita saja je petik limau ni dulu, pasni baru nak petik limau nipis. Heeee"

Dush3x. Ketok kepala ke dinding.

Dah dah, aku nak jalan keliling rumah, belajar semua nama pokok limau yang ado! (-__-")
Kot-kot terjumpa limau bali!

22 December 2011

Nasib Pendrive

5 komen
Beberapa tahun lepas, saya hilang pendrive. Cari-cari tak jumpa. Beli pendrive baru.

Tiba-tiba suatu hari ternampak pendrive yang hilang tu tergantung di beg sekolah adik saya.

Saya: Aim! Kenapa pendrive kakak ada kat sini?
Aim: Apa nama dia kak? Adik ingatkan tu key-chain.
Saya: Fine...... T_T (Sabar!)

** Pendrive tu dah rosak sebab beg sekolah tu pernah kena hujan. Reda.

Tadi kemas-kemas bilik, terjumpa pendrive/keychain tu.
Saya: Aim! Akak jumpa ni! (Sambil angkat tangan tinggi-tinggi, memegang pendrive)
Aim: Apa tu kak?
Saya: Key-chain! :)

06 December 2011

Pesanan Ringkas

2 komen
Assalamualaikum sahabat blogger yang disayangi semua. Selamat malam.

Syukur kpd Tuhan, minggu ini tidak sesibuk minggu-minggu yg lalu. Sudah minggu ke-12 berkuliah. Tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk cuti study week dan minggu peperiksaan! Masa berlalu ibarat pedang kan, pantas mencantas.

Oleh sebab itu, malam ni saya tidak tidur lewat seperti selalu. Mungkin akan melabuh lena sekejap lagi. Sebelum tidur ni, sampai pula mesej ringkas dari sahabat. Sahabat yang tak jemu-jemu mendoakan kesejahteraan saya, dgn hemah yang saya senangi.

"Nur, hdp ini tlalu byk penipuan dan pgkhianatan.. Tabahkn hati kta, kembali padaNYA yg sdah lama kta tinggalkn. Moga rintihan n pyesalan kta DIA trima...

Terima kasih sahabat. Bukan indah pertemuan atau manis kata yang saya damba, cuma ikhlas dalam doa dan doa dalam sujud saja yg saya pinta.

** sejak akhir-akhir ni semakin malas nak menaip mesej.

Selamat malam semua. Tidur dalam ibadah.

Salam sayang, Gadis Biasa.

26 August 2011

Muhasabah Ramadan & Keredaan Syawal

2 komen
Assalamualaikum, salam Ramadan sahabat blogger semua!
Semoga walafiat iman dan amal sahabat semua.

MUHASABAH RAMADAN

Hari ini masuk 26 Ramadan, tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk umat Islam meraikan Syawal yang menandakan berakhirnya rantaian syaitan dan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas setiap muslim. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menghidupkan malam dengan solat terawih.

Sedar tak sedar, dah nak raya, kan? Dah 26 hari Allah memberikan peluang untuk kita memperbaiki diri dan membuang segala sifat mazmumah yang telah menjadi kebiasaan pada bulan-bulan lain. Jika sebelum ini ada yang terbiasa bangun pagi lewat, meninggalkan solat, 'ter'lupa membaca al-Quran, makan banyak, makan minum berdiri dan sebagainya, puasa sebenarnya menjadi motivasi untuk mengikis semua sikap-sikap ini.

Bagaimana puasa boleh membantu kita menjadi insan yang lebih baik? Bagaimana pula Ramadan boleh membantu kita mengikis tabiat buruk? Sebagai contoh, pada bulan-bulan biasa kebanyakan umat Islam selalunya membaca al-Quran sehari sekali-mungkin selepas solat Maghrib atau Subuh. Baca al-Quran dari ain hingga ke ain yang lagi satu.

Dengan hadirnya Ramadan, umat Islam akan berusaha menggandakan amalan membaca al-Quran-lebih banyak safhah daripada kebiasaan. Dan kekerapan membacanya pula digandakan. Semuanya kerana Allah menggandakan pahala bagi setiap amalan ketika Ramadan ini, dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Mungkin pada awalnya, amalan membaca al-Quran diperbanyak dengan tujuan untuk khatam dan mendapatkan pahala semata-mata. Namun apabila sudah terbiasa, insya-Allah keikhlasan membaca al-Quran itu akan datang dengan sendiri, untuk mendapatkan keredaan dan kerahmatan Allah. Bukankah al-Quran itu ayat-ayat cinta dari Allah buat hamba-Nya? Sama juga dengan ibadah-ibadah lain, sama ada wajib mahupun sunat, apabila dilakukan dengan ikhlas, pastinya akan menumbuhkan keimanan dan ketaatan kepada Allah, seterusnya menjadikan kita hamba yang bertaqwa.


Bagi yang belum berkesempatan meluangkan masa untuk mendambakan diri kepada Ramadan, masih belum terlambat merebut ganjaran yang telah Allah janjikan pada hari-hari terakhir Ramadan. Bukankah malam lailatul qadar jatuhnya pada 10 malam terakhir? Apatah lagi, dah dekat raya ni pasti telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, bolehlah beramal ibadah bersama-sama keluarga.

Nilailah bagaimana kita mengulangkaji pelajaran Ramadan agar dapat bersedia melalui Ramadan dengan baik. Andai Ramadan berlalu tidak seperti yang diharapkan, maka tahun depan berusahalah untuk mengubahnya menjadi lebih baik. Mengisi setiap saat dengan zikrullah, menghangatkan jiwa dengan kenikmatan Ramadan dan cinta kepada Allah.

KEREDAAN SYAWAL

Selepas Ramadan, tibalah masa untuk umat Islam meraikan yaumul jaizah, iaitu Syawal-Hari Raya Aidilfitri.  Hadiah daripada Allah kepada umat Islam yang telah berhempas-pulas meniti hari demi hari dalam bulan Ramadan. Andai Ramadan telah sedikit sebanyak dapat mengubah cara & sikap kita, Syawal menjadi platform untuk kita meneruskan semua amalan baik yang telah kita mulakan ketika Ramadan. Jangan hangat-hangat tahi ayam saja, alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan! Insya-Allah, atas kesungguhan dan keyakinan yang ada, semua amalan baik dapat dilakukan dengan konsisten dan istiqamah menjelang Syawal dan bulan-bulan seterusnya. 


Bahkan, Syawal menjadi lebih bermakna andai ianya dilewati dengan bijaksana, menepati sunnah baginda dan mematuhi landasan syarak. Mari bersama saya, berkongsi input yang saya dapat kutip daripada majalah Solusi. Moga bermanfaat untuk anda.

Satu Syawal
1) Mandi sunat, memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian- Wujudkan suasana ibadah dalam rumah kita. Ajak anak-anak, ayah, ibu, abang, kakak atau adik untuk sama-sama meraikan Syawal dengan amal ibadah. Biarpun amalan ini dilihat kecil, insya-Allah roh ibadah akan membawa keberkatan kepada keluarga.
2) Makan sebelum ke masjid- Sunnah nabi
3) Pergi ke masjid dan pulang dari masjid menggunakan jalan yang berbeza- Sunnah nabi
4) Mengucapkan selamat hari raya- Rasulullah akan mengucapkan kepada para sahabat, Taqabballahu minna waminkum- Moga-moga Allah menerima amalan kami dan kalian semua.

Don'ts
1) Makan secara berlebihan- Syawal bukan bermakna kita sudah boleh melantak sesuka hati. Bahkan kita dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.
2) Memandu dengan tidak berhemah
3) Bergosip/ mengumpat ketika berkunjung ke rumah teman atau saudara-mara


Banyak lagi sebenarnya perkara yang ingin saya kongsikan. Namun secara asasnya, hiasilah kemeriahan Syawal dengan rasa syukur, dan elakkanlah diri daripada melakukan perkara yang ditegah. Raya raya juga, Allah dan akhlak Islam jangan lupa!

Akhir kalam untuk entri penghujung Ramadan, saya dan keluarga menghulur salam kemaafan atas segala kekhilafan perbuatan, keterlanjuran perkataan dan tindak laku yang mengguris perasaan. Malah, andai ada tinta dalam blog ini yang menyakitkan hati sesiapa, maaf jua yang saya pinta. Jangan main mercun ok! Tata, Assalamualaikum.

Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin

08 August 2011

Rindu Atuk

4 komen
Assalamualaikum dan salam Ramadan semua!

Menjelang Ramadan tahun yang ke-22 dalam hidup, terasa Ramadan ini lebih bermakna kerana berkesempatan untuk melakukan pelbagai perkara. Ya, banyak perkara yang selalu direncana dalam kepala namun selalu tak kesampaian. Kerana masa ialah penghalangnya. Alhamdulillah, Ramadan ini ada sedikit sebanyak impian yang terlunas.

Tempohari saya berbual-bual dengan nenek dan Mak Uda, bercerita tentang pengalaman menjadi anak angkat di Temoh, Perak. Cerita punya cerita, terbongkar kisah rupanya arwah atuk dulu pernah belajar agama di tempat saya berkampung di Temoh. Bila diselidiki lagi, rupa-rupanya atuk pernah menjadi anak murid kepada Kiyai Salleh di Madrasah Salihiah di Kampung Haji Salleh, Temoh. Masya-Allah, dunia ini memang kecil. Apatah lagi keluarga angkat saya di Temoh, Prof. Badriyah Hj. Salleh merupakan anak Kiyai Salleh, tuk guru arwah atuk saya.

Bercerita tentang atuk, tahun ini sudah masuk tahun ke-16 atuk meninggalkan dunia ini. Namun 6 tahun yang dilalui bersama atuk tak pernah saya lupakan. Bahkan, nama yang sedang saya bawakan ini juga pemberian atuk. Atuk kata, nama ini ringkas, pendek, tepat, bermakna-katanya pada orang tua saya ketika mereka mengunjurkan cadangan nama untuk cucu atuk yang pertama. Sebetulnya, cadangan nama saya pada asalnya ialah nama sejenis bunga, hehe. Bunga apa? Biarlah rahsia :) Apa pun, nama Noraini ini mengingatkan saya kepada atuk. Terima kasih atuk, kita suka nama ini. Akan saya jaga maruah nama ini sampai akhir hayat Insya-Allah.

Biarpun singkat masa yang saya habiskan bersama atuk, momen yang saya lalui bersamanya masih lekat dlm ingatan. Paling tak boleh lupa, dulu kecil-kecil, saya tak suka makan kulit roti yang warna coklat, saya hanya mahu makan yang putih aja. Jadi atuklah yang akan makan sisa kulit roti yang saya asingkan. Atuk kata, membazir kan kawan syaitan. Dah besar-besar ni saya makan semua bahagian roti, sebab tak mahu berkawan dengan setan, dan sebab teringat nasihat atuk!

Saat atuk meninggal ketika saya berusia 6 tahun, sedih dan gembira bercampur baur. Sedih sebab atuk tak ada lagi, dan gembira kerana perginya penuh kehormatan. Dialah atuk yang selalu saya rindui, Ma'aruf bin Hassan. Ya, makruf itu maksudnya terpuji.

Doaku agar kalimah tayyibah isteri, anak-anak, dan cucu-cucu menerangi ruang lahadnya sampai hari akhirat  nanti, insya-Allah!

Ramadan 1432H, hatiku rindu atuk.

29 June 2011

Entri Tentang Nizam?

3 komen
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua! Saya doakan agar anda semua sihat dan ceria selalu!

Tiga hari yang lepas, saya dan teman-teman dari UPSI baru sahaja berkampung di UPM untuk Pesta Cakna Hujah (PECAH). Alhamdulillah dapat warm-up dan menghangatkan kembali otak yang dah lama membeku. Dapat juga berjumpa teman lama, berkenalan dengan teman baru, bergebang sampai malam, dan banyak lagi momen yang agak menyenangkan di sana. Maaf kepada teman yang terlepas pandang dan tak tertegur, ada kalanya memang betul-betul tak perasan, dan ada kalanya saya terasa segan ^^ maaf.

Oh, hampir terlupa tentang NIZAM! Dua minggu kebelakangan ini saya asyik mengulit hasil buah tangan NIZAM. Bukan seorang, tetapi dua NIZAM. Kalau tak silap saya, karya berbeza genre pemilik nama NIZAM ini dilancarkan pada hari yang sama di Annexe Gallery, Central Market.

NIZAM (i)-Catatan Nizam Sani ini saya miliki selepas menjadi penatap setia blog beliau: Hai, Saya Nizam Sani. Gaya penulisan yg tersangat santai, berkapasiti menghibur tatkala tertekan dgn kerja. Sangat senang berbicara dengan insan rendah diri dan pemalu ini. Saya doakan Encik Nizam terus maju jaya, dikurniakan cahaya mata dan semoga kita ada rezeki ketemu lagi!
Ringkas, tapi menarik
Inilah yang dicoretkan Encik Nizam Sani di halaman pertama
NIZAM (ii)-Pecah: Karya senior dalam dunia debat universiti. Sebetulnya saya pertama kali bersua dengan beliau ketika Debat Diraja 2009 di UM, tapi kelmarin barulah saya ada keberanian untuk bercakap dengan beliau-itu pun untuk meminta sedikit contengan di novelnya!
Geng Abaya dipilih sebagai cover novel
Terima kasih, Abang Bonsai :)
Apa yang penting, saya enjoy membaca novel ini-walaupun ada sesetengah scene yang saya kena baca berulang kali dan kewujudan sesetengah scene yang memaparkan aksi erotik yg mengganggu mood membaca saya. Apapun, tahniah Abg Khairulnizam Bakeri, tentu banyak kajian yang telah dilakukan untuk melahirkan Pecah. Mabruq, semoga memberi manfaat kpd pembaca.

Kedua-dua NIZAM ini rendah orangnya, namun pasti berjiwa besar-kalau tidak, masakan mereka mampu membukukan karya mereka, kan?

Sekian dulu, senyum selalu. Wassalam (^^)
p/s: Salam Israk Mikraj 1432H.

10 May 2011

Zuriat: Kurniaan dan Pinjaman

0 komen
Antara lelaki dan perempuan itu tercipta kasih sayang yang dizahirkan melalui perkahwinan, sebuah ikatan yang halal lagi mencukupi separuh keimanan seorang mukmin. Dan dalam perhubungan perkahwinan, pastinya  kehadiran cahaya mata serta tawa dan tangis mereka dilihat sebagai perkara yang melengkapi dan menghiasi perkahwinan itu.

Anak-anak merupakan aset ibu dan ayah. Ketika kecil ditatang bagai minyak yang penuh, sampaikan apabila ke tempat kerja pun tak sabar mahu segera pulang ke rumah, bertemu dengan anak yang dirindu biarpun ditinggalkan sekejap cuma. Bukan pasangan suami isteri sahaja yang kepingin kehadiran bayi sebagai penyeri rumah tangga, bahkan gadis-gadis juga akan terserlah naluri keibuan mereka apabila ketemu anak kecil. Anak kecil, diagah dan diacah sepuas mungkin. Begitulah seronoknya apabila anak kecil menemani kehidupan sehari-hari. Anak-anak merupakan KURNIAAN Tuhan paling berharga buat setiap manusia di dunia ini, memanjangkan zuriat dan menjadi jaminan masa hadapan.

Hati saya tersentuh apabila menatap kisah seorang ibu yang kehilangan tiga orang anaknya sekaligus ketika sedang gembira berkelah di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah. Nurshaza Alisa, Nurshaza Azira dan Nurshaza Shakinah, hilang sekelip mata dibawa arus menggila. Tak tahulah... Saya seolah-olah terasa tempiasnya sendu ibu ini. Pastinya ibu ini ada perancangan masa hadapan buat 3 orang anak perempuannya yang masih kecil (2, 4 dan 5 tahun). But man proposes, God disposes. Segalanya di tangan Allah. Pastinya perasaan ibu ini seperti direntap hebat dan direnggut kuat. Sungguh, tak dapat saya bayangkan bagaimana jika saya berada di tempatnya, mahu memulakan semula kehidupan tanpa anak-anak, bukan seorang tetapi tiga! Semoga ketabahan hati diberikan untuk ibu muda ini.

Kisah Kartika Sari yang kehilangan anaknya, kisah kehilangan Sharlinie dan kematian anak-anak kecil disebabkan kemalangan, penculikan, dan sebagainya sebenarnya membuka ruang kesedaran kita semua bahawa anak-anak ialah PINJAMAN Allah S.W.T. Sedih memang tak boleh dielak, namun untuk mengatasi rasa sedih itu ingatlah, anak-anak kecil (belum baligh) yang pergi menghadap Ilahi akan ditempatkan di jannah Allah yang terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak terkira. Anak-anak ini disebut sebagai wildan yang akan membantu ibu bapanya ketika di padang mahsyar (baca di SINI). Subhanallah, Allah menjanjikan kenikmatan atas kesusahan  yang diberikan ketika di dunia!


Menurut Hadits Qudsi:
  Allah SWT berfirman pada hari kiamat kepada anak-anak:
  "Masuklah kalian ke dalam syurga!"
  Anak-anak itu berkata: "Ya Rabbi (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk."
  Lalu mereka mendekati pintu syurga! tapi tidak mahu masuk ke dalamnya. Allah berfirman lagi: "Mengapa, Aku lihat mereka enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam syurga!" Mereka menjawab: "Tetapi (bagaimana) orang tua kami?" Allah pun berfirman: "Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian." 
(Hadits Qudsi Riwayat Ahmad dari Syurahbil bin Syuaíah yang bersumber dari sahabat Nabi SAW)
Akhir kalam, sy mendoakan agar ibu saudara saya terus bertabah menghadapi hari mendatang tanpa Ammar Hafiz, anaknya yang meninggal dunia 1 April yang lalu. Terlalu banyak dugaan yang dihadapi. Namun setiap manusia mempunyai bahagian masing-masing. Allah memberi ujian mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya...

Senyum Selalu! (^^)

p/s: Menghargai KURNIAAN, biarpun cuma PINJAMAN :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...