Followers

08 August 2011

Rindu Atuk

Assalamualaikum dan salam Ramadan semua!

Menjelang Ramadan tahun yang ke-22 dalam hidup, terasa Ramadan ini lebih bermakna kerana berkesempatan untuk melakukan pelbagai perkara. Ya, banyak perkara yang selalu direncana dalam kepala namun selalu tak kesampaian. Kerana masa ialah penghalangnya. Alhamdulillah, Ramadan ini ada sedikit sebanyak impian yang terlunas.

Tempohari saya berbual-bual dengan nenek dan Mak Uda, bercerita tentang pengalaman menjadi anak angkat di Temoh, Perak. Cerita punya cerita, terbongkar kisah rupanya arwah atuk dulu pernah belajar agama di tempat saya berkampung di Temoh. Bila diselidiki lagi, rupa-rupanya atuk pernah menjadi anak murid kepada Kiyai Salleh di Madrasah Salihiah di Kampung Haji Salleh, Temoh. Masya-Allah, dunia ini memang kecil. Apatah lagi keluarga angkat saya di Temoh, Prof. Badriyah Hj. Salleh merupakan anak Kiyai Salleh, tuk guru arwah atuk saya.

Bercerita tentang atuk, tahun ini sudah masuk tahun ke-16 atuk meninggalkan dunia ini. Namun 6 tahun yang dilalui bersama atuk tak pernah saya lupakan. Bahkan, nama yang sedang saya bawakan ini juga pemberian atuk. Atuk kata, nama ini ringkas, pendek, tepat, bermakna-katanya pada orang tua saya ketika mereka mengunjurkan cadangan nama untuk cucu atuk yang pertama. Sebetulnya, cadangan nama saya pada asalnya ialah nama sejenis bunga, hehe. Bunga apa? Biarlah rahsia :) Apa pun, nama Noraini ini mengingatkan saya kepada atuk. Terima kasih atuk, kita suka nama ini. Akan saya jaga maruah nama ini sampai akhir hayat Insya-Allah.

Biarpun singkat masa yang saya habiskan bersama atuk, momen yang saya lalui bersamanya masih lekat dlm ingatan. Paling tak boleh lupa, dulu kecil-kecil, saya tak suka makan kulit roti yang warna coklat, saya hanya mahu makan yang putih aja. Jadi atuklah yang akan makan sisa kulit roti yang saya asingkan. Atuk kata, membazir kan kawan syaitan. Dah besar-besar ni saya makan semua bahagian roti, sebab tak mahu berkawan dengan setan, dan sebab teringat nasihat atuk!

Saat atuk meninggal ketika saya berusia 6 tahun, sedih dan gembira bercampur baur. Sedih sebab atuk tak ada lagi, dan gembira kerana perginya penuh kehormatan. Dialah atuk yang selalu saya rindui, Ma'aruf bin Hassan. Ya, makruf itu maksudnya terpuji.

Doaku agar kalimah tayyibah isteri, anak-anak, dan cucu-cucu menerangi ruang lahadnya sampai hari akhirat  nanti, insya-Allah!

Ramadan 1432H, hatiku rindu atuk.

4 comments:

FiraHasan said...

Nama Musfirah juga nama pilihan atuk :)

Cahaya Mataku said...

Nama pilihan atuk-atuk memang pendek-pendek agaknya :)

siti said...

salam
saudari penulis masih lagi menghubungi profesor hj badriyah?

siti said...

salam
saudari masih menghubungi keluarga/ dr badriyah hj salleh?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...