Followers

26 August 2011

Muhasabah Ramadan & Keredaan Syawal

Assalamualaikum, salam Ramadan sahabat blogger semua!
Semoga walafiat iman dan amal sahabat semua.

MUHASABAH RAMADAN

Hari ini masuk 26 Ramadan, tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk umat Islam meraikan Syawal yang menandakan berakhirnya rantaian syaitan dan ibadah puasa yang diwajibkan ke atas setiap muslim. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menghidupkan malam dengan solat terawih.

Sedar tak sedar, dah nak raya, kan? Dah 26 hari Allah memberikan peluang untuk kita memperbaiki diri dan membuang segala sifat mazmumah yang telah menjadi kebiasaan pada bulan-bulan lain. Jika sebelum ini ada yang terbiasa bangun pagi lewat, meninggalkan solat, 'ter'lupa membaca al-Quran, makan banyak, makan minum berdiri dan sebagainya, puasa sebenarnya menjadi motivasi untuk mengikis semua sikap-sikap ini.

Bagaimana puasa boleh membantu kita menjadi insan yang lebih baik? Bagaimana pula Ramadan boleh membantu kita mengikis tabiat buruk? Sebagai contoh, pada bulan-bulan biasa kebanyakan umat Islam selalunya membaca al-Quran sehari sekali-mungkin selepas solat Maghrib atau Subuh. Baca al-Quran dari ain hingga ke ain yang lagi satu.

Dengan hadirnya Ramadan, umat Islam akan berusaha menggandakan amalan membaca al-Quran-lebih banyak safhah daripada kebiasaan. Dan kekerapan membacanya pula digandakan. Semuanya kerana Allah menggandakan pahala bagi setiap amalan ketika Ramadan ini, dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Mungkin pada awalnya, amalan membaca al-Quran diperbanyak dengan tujuan untuk khatam dan mendapatkan pahala semata-mata. Namun apabila sudah terbiasa, insya-Allah keikhlasan membaca al-Quran itu akan datang dengan sendiri, untuk mendapatkan keredaan dan kerahmatan Allah. Bukankah al-Quran itu ayat-ayat cinta dari Allah buat hamba-Nya? Sama juga dengan ibadah-ibadah lain, sama ada wajib mahupun sunat, apabila dilakukan dengan ikhlas, pastinya akan menumbuhkan keimanan dan ketaatan kepada Allah, seterusnya menjadikan kita hamba yang bertaqwa.


Bagi yang belum berkesempatan meluangkan masa untuk mendambakan diri kepada Ramadan, masih belum terlambat merebut ganjaran yang telah Allah janjikan pada hari-hari terakhir Ramadan. Bukankah malam lailatul qadar jatuhnya pada 10 malam terakhir? Apatah lagi, dah dekat raya ni pasti telah ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing, bolehlah beramal ibadah bersama-sama keluarga.

Nilailah bagaimana kita mengulangkaji pelajaran Ramadan agar dapat bersedia melalui Ramadan dengan baik. Andai Ramadan berlalu tidak seperti yang diharapkan, maka tahun depan berusahalah untuk mengubahnya menjadi lebih baik. Mengisi setiap saat dengan zikrullah, menghangatkan jiwa dengan kenikmatan Ramadan dan cinta kepada Allah.

KEREDAAN SYAWAL

Selepas Ramadan, tibalah masa untuk umat Islam meraikan yaumul jaizah, iaitu Syawal-Hari Raya Aidilfitri.  Hadiah daripada Allah kepada umat Islam yang telah berhempas-pulas meniti hari demi hari dalam bulan Ramadan. Andai Ramadan telah sedikit sebanyak dapat mengubah cara & sikap kita, Syawal menjadi platform untuk kita meneruskan semua amalan baik yang telah kita mulakan ketika Ramadan. Jangan hangat-hangat tahi ayam saja, alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan! Insya-Allah, atas kesungguhan dan keyakinan yang ada, semua amalan baik dapat dilakukan dengan konsisten dan istiqamah menjelang Syawal dan bulan-bulan seterusnya. 


Bahkan, Syawal menjadi lebih bermakna andai ianya dilewati dengan bijaksana, menepati sunnah baginda dan mematuhi landasan syarak. Mari bersama saya, berkongsi input yang saya dapat kutip daripada majalah Solusi. Moga bermanfaat untuk anda.

Satu Syawal
1) Mandi sunat, memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian- Wujudkan suasana ibadah dalam rumah kita. Ajak anak-anak, ayah, ibu, abang, kakak atau adik untuk sama-sama meraikan Syawal dengan amal ibadah. Biarpun amalan ini dilihat kecil, insya-Allah roh ibadah akan membawa keberkatan kepada keluarga.
2) Makan sebelum ke masjid- Sunnah nabi
3) Pergi ke masjid dan pulang dari masjid menggunakan jalan yang berbeza- Sunnah nabi
4) Mengucapkan selamat hari raya- Rasulullah akan mengucapkan kepada para sahabat, Taqabballahu minna waminkum- Moga-moga Allah menerima amalan kami dan kalian semua.

Don'ts
1) Makan secara berlebihan- Syawal bukan bermakna kita sudah boleh melantak sesuka hati. Bahkan kita dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.
2) Memandu dengan tidak berhemah
3) Bergosip/ mengumpat ketika berkunjung ke rumah teman atau saudara-mara


Banyak lagi sebenarnya perkara yang ingin saya kongsikan. Namun secara asasnya, hiasilah kemeriahan Syawal dengan rasa syukur, dan elakkanlah diri daripada melakukan perkara yang ditegah. Raya raya juga, Allah dan akhlak Islam jangan lupa!

Akhir kalam untuk entri penghujung Ramadan, saya dan keluarga menghulur salam kemaafan atas segala kekhilafan perbuatan, keterlanjuran perkataan dan tindak laku yang mengguris perasaan. Malah, andai ada tinta dalam blog ini yang menyakitkan hati sesiapa, maaf jua yang saya pinta. Jangan main mercun ok! Tata, Assalamualaikum.

Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin

2 comments:

Razman Kamarudin said...

bagus3..

Info said...

Mantap..!!blog yg kemas dan menarik dibaca..tuan punya blog ni blogger yg professional!
http://panduanbatin.blogspot.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...