Antara lelaki dan perempuan itu tercipta kasih sayang yang dizahirkan melalui perkahwinan, sebuah ikatan yang halal lagi mencukupi separuh keimanan seorang mukmin. Dan dalam perhubungan perkahwinan, pastinya kehadiran cahaya mata serta tawa dan tangis mereka dilihat sebagai perkara yang melengkapi dan menghiasi perkahwinan itu.
Anak-anak merupakan aset ibu dan ayah. Ketika kecil ditatang bagai minyak yang penuh, sampaikan apabila ke tempat kerja pun tak sabar mahu segera pulang ke rumah, bertemu dengan anak yang dirindu biarpun ditinggalkan sekejap cuma. Bukan pasangan suami isteri sahaja yang kepingin kehadiran bayi sebagai penyeri rumah tangga, bahkan gadis-gadis juga akan terserlah naluri keibuan mereka apabila ketemu anak kecil. Anak kecil, diagah dan diacah sepuas mungkin. Begitulah seronoknya apabila anak kecil menemani kehidupan sehari-hari. Anak-anak merupakan KURNIAAN Tuhan paling berharga buat setiap manusia di dunia ini, memanjangkan zuriat dan menjadi jaminan masa hadapan.
Hati saya tersentuh apabila menatap kisah seorang ibu yang kehilangan tiga orang anaknya sekaligus ketika sedang gembira berkelah di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah. Nurshaza Alisa, Nurshaza Azira dan Nurshaza Shakinah, hilang sekelip mata dibawa arus menggila. Tak tahulah... Saya seolah-olah terasa tempiasnya sendu ibu ini. Pastinya ibu ini ada perancangan masa hadapan buat 3 orang anak perempuannya yang masih kecil (2, 4 dan 5 tahun). But man proposes, God disposes. Segalanya di tangan Allah. Pastinya perasaan ibu ini seperti direntap hebat dan direnggut kuat. Sungguh, tak dapat saya bayangkan bagaimana jika saya berada di tempatnya, mahu memulakan semula kehidupan tanpa anak-anak, bukan seorang tetapi tiga! Semoga ketabahan hati diberikan untuk ibu muda ini.
Kisah Kartika Sari yang kehilangan anaknya, kisah kehilangan Sharlinie dan kematian anak-anak kecil disebabkan kemalangan, penculikan, dan sebagainya sebenarnya membuka ruang kesedaran kita semua bahawa anak-anak ialah PINJAMAN Allah S.W.T. Sedih memang tak boleh dielak, namun untuk mengatasi rasa sedih itu ingatlah, anak-anak kecil (belum baligh) yang pergi menghadap Ilahi akan ditempatkan di jannah Allah yang terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak terkira. Anak-anak ini disebut sebagai wildan yang akan membantu ibu bapanya ketika di padang mahsyar (baca di SINI). Subhanallah, Allah menjanjikan kenikmatan atas kesusahan yang diberikan ketika di dunia!
Menurut Hadits Qudsi:
Menurut Hadits Qudsi:
Allah SWT berfirman pada hari kiamat kepada anak-anak:"Masuklah kalian ke dalam syurga!"Anak-anak itu berkata: "Ya Rabbi (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk."Lalu mereka mendekati pintu syurga! tapi tidak mahu masuk ke dalamnya. Allah berfirman lagi: "Mengapa, Aku lihat mereka enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam syurga!" Mereka menjawab: "Tetapi (bagaimana) orang tua kami?" Allah pun berfirman: "Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian."
(Hadits Qudsi Riwayat Ahmad dari Syurahbil bin Syuaíah yang bersumber dari sahabat Nabi SAW)
Akhir kalam, sy mendoakan agar ibu saudara saya terus bertabah menghadapi hari mendatang tanpa Ammar Hafiz, anaknya yang meninggal dunia 1 April yang lalu. Terlalu banyak dugaan yang dihadapi. Namun setiap manusia mempunyai bahagian masing-masing. Allah memberi ujian mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya...
Senyum Selalu! (^^)
No comments:
Post a Comment