Followers

16 December 2011

Warkah Kepercayaan Zaman, Baha Zain

Baha Zain, Rumah PENA, 2011

Melangkahlah ke depan dengan teliti dan berhati-hati
kerana telah kami hamparkan segala mimpi di atas tanah yang dilalui
seperti permaidani bersulamkan ayat-ayat sejarah, dan impian masa depan
dalam bahasa bangsa kita dengan segala peribahasanya
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Di pantai yang diinjak, di situ ombak bergulung.

Sinar indah dari langit, badai ribut dari laut bersama-sama kita hadapi
sekepal tanah kecil, membesar dalam ikhtiar dan perjuangan yang berani.

Kita tak dapat memilih negeri lain di benua yang lain
bahasa kita bagai rumah berjendela cahaya,
di situ kita belajar menyuluh diri, dan memupuk akal budi
dengan bunga kata, pantun, peribahasa dan teka teki
Teradun halus kasih sayang, ilmu, maruah, dan selebihnya peribadi.

Rakyat itu pelbagai warna dan karenahnya
Lebih-lebih lagi helah, perasaan dan niatnya
Hanya sebuah kandil menjadi suluh, menanti untuk dinyalakan
Keadilan -menjadi jalan kesejahteraan manusia di muka bumi ini
Keadilan - akan membuka syurga untuk pemimpin di akhirat nanti.

Kita tidak akan pergi ke mana-mana
Ini adalah satu-satunya tanah dan bahasa kita
tanpa semuanya itu siapa kita?
Tanpa sekalian itu kami hanya pengarang
seperti pengarang-pengarang lain itu
dengan hanya pemimpin
seperti pemimpin-pemimpin lain itu.

Kami akan bersama menghidupkan taman indah ini
dengan ribuan bunga
bertukar warna silih berganti.
Bertawakallah!
Hidup atau mati
Sekalian berjuang selamanya terbilang.

** Dato' Baharuddin Zainal atau Baha Zain merupakan penerima pertama Anugerah Tokoh PENA sempena Sambutan 50 Tahun PENA 2011.


"Alangkah bebasnya burung, alangkah indahnya mimpi!"

2 comments:

F.Aminurrashidd said...

sekali menulis, menulislah selama-lamanya..

:)

Anonymous said...

:)
mencoret rasa dengan pena lebih mudah mecoret rasa dengan bicara

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...